SEREMBAN 8 Feb. – Percutian sebuah keluarga di Bukit Merah Lake Town Resort di Taiping, Perak baru-baru ini berakhir dengan tragedi apabila kesemua enam ahli keluarga itu maut dalam satu kemalangan ngeri di Kilometer 252.3 Lebuh Raya Utara-Selatan dekat sini, awal pagi ini.
Kejadian menyayat hati itu berlaku kira-kira lima kilometer selepas susur keluar Plaza Tol Senawang pada pukul 1.30 pagi apabila kereta jenis BMW 7 Series yang dinaiki keluarga itu terbabas sebelum merempuh sebuah treler yang rosak di lorong kecemasan.
Lebih memilukan, mangsa Suhaimi Ghazali, 41, dan isterinya, Norfadilah Isenin, 32, serta empat anak mereka, Nurul Natasha Huda, 11; Muhammad Danial Iskandar, 10; Muhammad Hanif Iman, 6, dan Adi Putra, 2, rentung di tempat kejadian.
Kejadian ini memberi beberapa pengajaran kepada orang yang mahu berfikir. Hidup dan mati adalah ketentuan Allah SWT. Setiap orang yang beriman akan menerimanya dengan hati yang tenang. Allah tidak menjadikan sesuatu kejadian itu sia-sia. Ada hikmah dan pengajaran disebaliknya.
Kemalangan ini telah meragut nyawa seorang kontraktor yang masih muda. Melihat kepada kereta yang dipandunya, ianya seorang kontraktor melayu yang berjaya. Kita kehilangan seorang usahawan melayu. Allahyarham tentunya telah memberi peluang pekerjaan kepada segolongan orang. Sudah tentu, semasa hidupnya Allahyarham telah membelanjakan sedikit daripada wangnya untuk pembangunan dan perkembangan agama dan orang Islam.
Kejadian ini berlaku pada jam 1.30 pagi, waktu kita semua nyenyak tidur. Kita tidak tahu keadaan yang sebenar. Cuma kita boleh agak bahawa kemungkinan Allahyarham terlelap.
Apa pun, kita kena yakin bahawa sehebat manapun kenderaan yang kita naiki, kita tidak dapat mengelak daripada terlibat dengan kemalangan. Kita kena yakin, apabila Allah SWT mengkehendakki sesuatu perkara terjadi ke atas kita, tidak ada sesiapa pun yang boleh menghalangnya. Kita kena percaya kepada Qada dan Qadar Allah SWT.
Berdasarkan pengalaman, kemungkinan hanya seorang daripada 4 orang anaknya yang baligh iaitu anak sulungnya yang berusia 11 tahun. Sementara 3 adiknya belum baligh. Ketiga-tiganya telah tergolong dalam Ahli Syurga, kerana belum disabitkan dengan hukum syarak.
Agama kita menyuruh setiap umatnya membaca doa menaiki kenderaan setiap kali kita nak memandu atau menaiki kenderaan. Guru saya memberitahu supaya membaca ayat 58 surah Yaasin sebanyak 28 kali sebelum keluar dari rumah sekiranya kita nak bermusafir atau membuat perjalanan yang jauh.
Semoga kemalangan yang menyayat hati ini akan menginsafkan kita. Maut akan menjemput kita pada bila-bila masa sahaja. Oleh yang demikian, kita mesti sentiasa bersedia untuk menghadapi mati. Semoga kita mendapat kebahagiaan di dunia dan di akhirat sebagaimana yang kita doakan setiap kali selesai menunaikan solat. Wallah hua'lam.