Aku dilahirkan pada 1 Januari 1961 di Kampung Gerai, Jertih, Besut, Terengganu. Aku adalah anak bongsu daripada lima orang adik beradik. Aku dilahirkan pada bulan Rejab. Ibu bapa aku memberi nama aku sebagai Razak.
Ayahku bernama Abd Rahman bin Merah. Ayahku lebih dikenali dengan panggilan "Pak Long Man". Ayahku adalah anak sulong daripada dua orang adik beradik. Ayahku juga terkenal dengan panggilan "Pak Long Man Tok Mudim" kerana kemahirannya dalam bermudim. Ramailah anak muda dikampungku dan kampung-kampung yang berdekatan menjadi "anak mudim" ayah aku. Selain itu ayahku juga dikenali dengan panggilan "Pak Long Man Tok Peraih Lembu" kerana ayahku terlibat dengan urusan jual-beli (sebetulnya beli-jual) lembu. Aku masih ingat, semasa aku kecil, ayahku membeli lembu-lembu dan dihantar ke Kuala Lumpur untuk dijual kepada pemborong di sana. Lembu-lembu itu dihantar dengan menggunakan beberapa buah lori. Masih segar dalam ingatanku, berpuluh-puluh ekor lembu ditambat disekitar kampungku sebelum dihantar ke Kuala Lumpur.
Ibuku bernama Mek Sum binti Ahmad. Ayah dan ibuku berasal dari kampung yang sama. Ibuku lebih dikenali dengan panggilan "Mak Long Mek Sum" kerana dia adalah anak sulung daripada lapan orang adik beradik. Ibuku adalah seorang surirumah. Ibuku memang mahir dalam kerja-kerja kampung seperti menoreh getah, menanam padi dan menanam sayur sayuran. Ibuku juga mahir dalam menganyam tikar mengkuang. Ibuku juga mahir menangkap ikan menggunakan kail panjang. Aku sering diajak menemani ibuku semasa beliau pergi mengail ikan di sawah padi yang berdekatan dengan kampungku.