Hari ini merupakan satu hari yang malang bagi aku dan keluarga. Tidak seperti hari-hari biasa, aku hanya bangkit dari tidur pada jam 6.30 pagi. Aku terus memasuki bilik air untuk qada hajat. Semasa berada di dalam bilik air, aku terdengar bunyi yang pelik seperti jendela ditutup oleh orang. Aku bergegas keluar dan terkejut apabila mendapati tingkat di bilik dapur terbuka. Aku memeriksanya, kelihatan dengan jelas, jendela itu dikumpil. Sahlah ada pencuri yang telah memasuki rumah aku. Aku memeriksa barang-barang seperti kapak, parang dan dompet. Semuanya elok, tak diusik oleh orang. Aku merasa lega kerana tiada barang yang hilang. Aku mengejutkan isteriku dan menceritakan apa yang telah terjadi. Isteriku terkejut dan kelihatan tidak percaya dengan apa yang terjadi.
Oleh kerana telah lewat, aku terus ke bilik air untuk mandi. Semasa mandi, aku teringatkan notebook anakku. Aku keluar untuk melihat di tempat biasa yang diletaknya. Notebook tiada di situ. Aku memeriksa di dalam bilik tidurnya. Juga tiada. Aku meminta isteriku mengejutkan anakku dan bertanyakan tempat dimana notebooknya disimpan. Ternyata, notebook itu telah hilang.
Setelah selesai bersarapan, aku menuju ke sekolah. Setelah menyelesaikan urusan 'punch card', aku bertemu dengan Pengetua dan menceritakan apa yang telah berlaku. Aku segera ke Balai Polis Kampong Raja setelah memohon kebenaran daripada Pengetua. Aku menemui Koperal Sabri, pegawai yang bertugas dan membuat laporan tentang rumahku yang telah dipecah oleh pencuri. Setelah semuanya selesai, aku dibawa berjumpa dengan Sarjan Zainuddin, Penolong Pegawai Penyiasat. Setelah bertanya beberapa soalan, Sarjan Zainuddin segera ke rumahku untuk menyiasat apa yang berlaku.
Sesampainya, Sarjan Zainuddin dan seorang jurugambar telah menjalankan tugas mereka. Isteriku memberitahu beberapa barang kemasnya juga hilang.
Biar apapun, ini adalah satu ujian daripada Allah SWT untuk menguji aku dan keluargaku. Dalam kesedihan, aku melahirkan rasa syukur kerana semua keluarga selamat. Orang lain menerima "bala" dan "ujian" yang lebih besar dan lebih teruk daripada aku.