Kursus Kejurulatihan KESSUMA Tahun 2011

Kursus ini telah diadakan pada 6 - 8 Oktober 2011 bertempat di Sun Beach Resort, Pulau Tioman, Pahang Darul Makmur. Kursus ini dianjurkan oleh Bahagian Pendidikan, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JaHEAT). Pesertanya terdiri daripada Pengurusan, Pengurus dan Jurulatih sukan KESSUMA tahun 2011. Seramai 30 orang peserta telah dipanggil untuk menghadiri kursus ini. Atas sebab-sebab masing-masing, hanya 18 orang peserta sahaja yang dapat menghadirkan diri. Aku adalah salah seorang daripada yang dipanggil, dapat hadir dan mengikuti semua program yang diatur.



Berikut adalah catatan lengkap kursus ini.

6 Oktober 2011 (Khamis)

6.15 petang - Aku, Cikgu Wan Zaki Mahmud dan Cikgu Azman Mohamad memulakan perjalanan dari rumahku ke Komplek Seri Iman, Kuala Terengganu. Kami menaiki kereta Cikgu Azman, BFN 4000.

9.00 malam - Bas yang kami naiki mula bergerak menuju ke Mersing. Setelah berhenti beberapa kali, antaranya untuk minum, buang air kecil, kami sampai di Jeti Mersing pada jam 5.00 pagi. Kami mengambil kesempatan untuk berehat dan mengerjakan solat subuh setelah mendengar azan dikumandangkan dibeberapa buah masjid.

6.30 pagi - Kami dan penumpang-penumpang lain sudah berada di dalam barisan untuk menaiki feri. Penumpang terdiri daripada pelancong dalam dan luar negara.

7.20 pagi - Feri bertolak ke Pulau Tioman

8.35 pagi - Feri berlaboh di Jeti Kampong Genting setelah melalui perjalanan selama 1 jam 15 minit. Kami disambut oleh wakil Sun Beach Resort dan diiring ke resort yang terletak lebih kurang 500 meter dari jeti. Inilah kali pertama, aku menjejak kaki di Pulau Tioman. Cantik dan bersih. Udaranya nyaman. Tiada pencemaran udara. Tiada pencemaran bunyi. Kami menikmati dengan "welcome drink". Aku dan Ustaz Mohd Nasir Tahir menginap di bilik 22B.

9.30 pagi - Kami menaiki bot laju untuk ke Pulau Kurai. Perjalanannya mengambil masa lebih kurang 30 minit. Kami diberi peluang untuk melakukan aktiviti "snulkling". Pertama kalinya, aku  mendapat pengalaman yang indah ini. Cantiknya alam di bawah air yang diciptakan oleh Allah SWT. Airnya jernih. Aku dapat melihat dengan jelas berbagai-bagai jenis ikan. Ada yang besar. Ada yang kecil. Warnanya pula berbagai-bagai. Indahnya sukar untuk digambarkan dengan perkataan. Juga kelihatan batu karang dan batu-batan yang berbagai bentuk dan warna.






Setelah hampir 1 jam melihat keindahan alam flora dan fauna di sini, kami dibawa ke sebuah pulau untuk berehat dan makan tengahari. Kami disediakan makanan dalam polistren sahaja. Kami makan dengan selera. Sebabnya, lapar dan letih setelah berenang di dalam air laut yang masim. Pasir di pulau ini bersih dan halus. Selain kami, terdapat beberapa rombongan yang sama-sama menikmati keindahan pulau ini. Satu rombongan terdiri daripada pelancong orang putih. Pakain wanitanya tentunya bikini. Pencemaran budaya?

Setelah berada di pulau ini selama hampir 45 minit, kami dibawa ke Taman Laut Pulau Tioman yang dikawal oleh Jabatan Laut Malaysia. Di sini, kami berpeluang untuk melihat berbagai-bagai jenis ikan yang dipelihara. Jinak dan "mesra" dengan setiap pengunjung. Sambil berehat di jeti, aku melihat beberapa orang jemaah sedang menuju ke masjid untuk menunai solat fardu jumaat. Sayu rasa hati kerana tidak menunaikan solat jemaah yang paling besar fadhilatnya ini. Kami mengambil sikap sebagai musafir.

Setelah hampir 1 jam, kami dibawa pula naik ke daratan untuk berkunjung ke kedai bebas cukai. Hanya sebuah kedai bebas cukai yang terdapat di pulau ini. Barang-barang yang ditawarkan tidak banyak sangat. Kedainya tak besar sangat. Sebelum kami menjejakkan kaki di daratan, "pemandu pelancong" memaklumkan bahawa hanya dua jenis barang yang murah. Ianya arak dan rokok. Barang-barang lain lebih kurang harganya dengan kedai biasa. Setelah membuat tinjauan di dalam kedai, kami berkunjung ke sebuah gerai makan. Kami menikmati ABC dan goreng ubi. 

Selepas itu, kami menaiki bot untuk balik ke resort. Petang ini, aku menghabiskan masa dengan menonton pembentangan Bajet 2011 oleh YAB Dato' Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Malaysia. Aku dan rakan-rakan lain merasa gembira dengan bajet kali ini. Terdapat kenaikan gaji untuk kakitangan awam dan beberapa insentif untuk golongan guru. Aku juga sempat menonton perlawanan persahabat antara Malaysia dan Australia di lobi resort. Malaysia kalah teruk 0 - 5.