Fakri Dapat Kepercayaan 90 Minit

TERHARU, suka dan gembira yang tidak dapat saya gambarkan di sini. Tarikh keramat 13 Januari 2013 menyaksikan saya buat pertama kalinya disenaraikan sebagai pemain dan juga beraksi di bumi Portugal.Bukan 10 minit atau 15 minit yang saya sasarkan... Tetapi diberikan kepercayaan dalam kesebelasan utama dan dapat beraksi untuk sepenuh masa.
Syukur Alhamdulillah tidak terkira... Berkat doa keluarga dan juga rakyat Malaysia yang sentiasa tidak putus-putus memberikan dorongan kepada saya.
Walaupun tidak menjaringkan sebarang gol, namun sedikit sebanyak membantu pasukan untuk mendapat tiga mata penting sudah cukup memadai. Memang agak gementar memulakan langkah pertama, bagaikan macam buat pertama kalinya beraksi dalam kerjaya bola sepak.Inilah yang dikatakan pengalaman berada di negara orang. Inilah juga pengalaman-pengalaman yang dilalui oleh rakan-rakan senegara yang pernah beraksi diluar sana.


Kemenangan 3-2 keatas CF ESP Lagos telah merapatkan jurang mata, ini membolehkan pasukan kami untuk memasang cita-cita untuk mendapatkan tempat secara automatik ke Divisyen 2 musim hadapan. Kemenangan ini juga telah menaikkan semangat pasukan untuk melakukan lebih baik lagi bagi perlawanan akan datang.

Untuk pengetahuan semua pembaca, liga Divisyen 3 Portugal adalah bertaraf separuh profesional kira-kira macam Liga Perdana di negara kita. Liga ini mempunyai enam siri iaitu Siri A hingga F atau dalam bahasa mudahnya ada 6 kumpulan di mana setiap kumpulan mempunyai 12 pasukan. Cuba kita bayangkan, betapa ramainya pemain bersaing dalam liga ini. Secara matematiknya, setiap siri akan mempunyai 290 orang pemain dan kita darabkan dengan 6 siri, maka jumlahnya menjadi 1,740 orang pemain beraksi dalam Divisyen 3 ini.
Persaingan adalah amat tinggi di kalangan pemain dalam usaha untuk mengubah bentuk kehidupan.

Dua pasukan teratas setiap siri layak secara automatiknya ke Divisyen 2. Bukan satu tugas yang mudah untuk setiap pasukan dan pemain. Pemain perlu menjalani liku-liku yang penuh ranjau dan menunjukkan daya saing yang tinggi agar dapat memikat pencari-pencari bakat dari liga utama atau Divisyen 1 sebagai jalan pintas. Malah, bekerja keras untuk membantu pasukan melonjak ke divisyen yang lebih baik dan secara automatiknya membolehkan taraf pemain itu meningkat bersama pasukan yang diwakilinya.

Oh, betapa kerdilnya saya di negara orang... Banyak yang perlu saya pelajari dan banyak yang perlu saya perbaiki. Kini baru saya faham apa sebenarnya profesional.

Alhamdulillah, kombinasi saya bersama rakan sepasukan bertambah mantap. Mungkin kerana kami semua tinggal bersama di Rumah Kelab telah banyak membantu saya untuk menyesuaikan diri dengan cepat dan proses gandingan bersama-sama rakan lain menjadi lebih mudah.

Insya-Allah perlawanan berikutnya pada 20 Januari 2013 bertemu dengan pasukan SCM Aljusterense dan sekali lagi saya mesti berusaha keras untuk bersaing dengan rakan yang lain dan dapat menambat hati Pengurus pasukan. Sekian untuk tatapan minggu ini, semoga kita bertemu lagi. Salam untuk semua.