Kenapa Melayu Masih dihormati?
Pada 3 Mac 2013, parlimen telah dibubarkan. Pada hari Rabu, 10 April 2013, SPR telah mengumumkan bahawa PRU13 akan berlangsung pada hari Ahad, 5 Mei 2013. Manakala hari penamaan calon telah ditetapkan pada hari Sabtu, 20 April 2013. Tanda tanya terjawab. Sama ada BN akan kekal berkuasa atau tidak, hanya Allah sahaja Yang Maha Mengetahui. Semua parti yang mahu bertanding, besar atau kecil, lama atau baharu, yakin akan menang. Perasan, sedangkan kajian tidak dilakukan.
Lebih kelakar lagi, ada calon yang mengaku dia adalah winnable candidate. Mufti sedang berkhidmat pun mahu bertanding. Malangnya dia pilih PKR, bukan PAS. Selaku orang agama, sepatut dia pilih PAS. Barulah nampak ciri-ciri kemuftiannya. Bila orang agama tidak memilih PAS, ada dua tanda tanya, orang agama itu sendiri bermasalah atau mungkin PAS yang bermasalah, sehingga orang agama menjauhi.
Apapun dalam soal pemilihan, biarlah rakyat yang menentukan. Dalam demokrasi, rakyat adalah raja dalam membuat keputusan. Cuma, keadaan PRU 13 agak getir. Bukan mudah untuk mendapat majoriti dua pertiga. PRU 12 jelas membuktikan. Kemajuan sains dan teknologi telah merubah lanskap dan budaya politik negara. Media siber dan laman sosial mempengaruhi paten pengundian.
Siapa yang kita patut undi? Pada saya, parti agak kurang relevan. Calon parti itu yang penting. Sama ada calon tunggul atau tidak. Saya amat yakin PRU 13, faktor peribadi calon akan menentukan kemenangan sesebuah parti, bukan faktor parti atau faktor usia. Apa guna calon muda jika jahil. Ini bukan bermakna kita perlu letakkan calon tua (uzur) atau hampir mati. Persoalan pokok, boleh buat kerja atau tidak? Merakyat atau tidak? Memartabatkan agenda agama (bangsa) atau tidak?
Peribadi dan latar belakang calon amat penting. Tidak berlagak dan sombong. Mengutamakan rakyat lebih daripada yang lain. Rakyat yang kaya, bukan dia. Wakil rakyat boleh kaya, tetapi jangan lebih kaya daripada rakyat. Logiknya, jika dia lebih kaya, dari mana kekayaan itu datang.
Peribadi mereka mesti nampak baik. Tidak rasuah atau menggadaikan harta negara/negeri untuk kepentingan diri, walaupun namanya harta (ladang) rakyat. Saya berkesempatan ke Lojing menuju ke Gua Musang bulan lalu. Melihat ladang rakyat, hati menjadi sayu. Inikah yang dinamakan projek rakyat? Yang kaya hanyalah ultra kiasu.
Saya masih boleh memejam mata jika orang jahil Islam jadi rakus dan jahat. Namun, bila orang agama melakukannya, saya langsung tidak dapat terima, walaupun kita ini manusia biasa. Orang agama sepatutnya menjadi contoh, bukan sebaliknya. Sebab syurga dan neraka adalah mainan bibir mereka.
Sudah tentu mereka perlu lebih takutkan Allah daripada orang lain. Ini bukan bermakna, UMNO boleh dibiarkan bermaharajalela melakukan yang apa sahaja. Maaf, saya tidak kata semua. PKR usahlah diharap, mereka adalah serpihan UMNO. Jika dibiarkan mereka lebih rakus daripada UMNO.
Kedua, wakil rakyat yang cenderung kepada Islam (Melayu) dan menghormati perlembagaan, walaupun dia bukan Islam. Dalam bab ini, sudah tentu bukan wakil rakyat ultra kiasu, kerana mereka jelas menentang Islam sejak dari awal. Saya tidak boleh bayangkan jika PR memerintah. Ultra kiasu mahukan hiburan sekular, PAS menentang. Siapa yang akan mengalah. Jawapannya, sudah tentu PAS.
Apapun yang berlaku, janganlah jadi seperti di Singapura. Saya terbaca pandangan seorang ahli parlimen Melayu di Singapura ketika berkunjung ke negara itu baru-baru ini. Beliau mengajak orang Melayu sesuaikan dirikan hidup dalam negara sekular, sebab pemerintahannya sekular.
Ya, saya boleh terima cadangan itu. Tetapi tidakkah sepatutnya kita mencadangkan bagaimana Melayu tidak hanyut dalam negara sekular dan berusaha untuk mengekalkan ciri-ciri keIslaman Melayunya dalam persekitaran sekular. Sekular itu pilihan, bukan ditentukan. Inilah akibatnya apabila Melayu telah diultrakiasukan. Justeru, berhati-hatilah dengan calon ultra kiasu dalam PRU 13 ini.
Faktor kepentingan calon yang ketiga adalah, wakil rakyat tersebut mesti dapat dilihat melakukan kebaikan. Nampak bersolat, walaupun tidak selalu ke masjid. Bukan apa, ada ramai saya lihat wakil rakyat tidak solat. Jika dia sudah tidak takut Allah, bagaimana ia boleh takut kepada manusia.
Ingatlah wahai umatku, kenapa Melayu masih lagi dihormati hari ini? Sebab Melayu masih ada kuasa. Ditakdirkan Melayu tidak lagi memegang kuasa, adakah Melayu akan dihormati? Apakah benar jika PR memerintah, Melayu akan menjadi Perdana Menteri seperti yang didakwa ultra kiasu? Jika benar Melayu akan menjadi Perdana Menteri, apakah jaminan Perdana Menteri Melayu itu akan benar-benar mempertahankan hak-hak Islam dan Melayu seperti yang termaktub dalam perlembagaan. Pergilah ke Pulau Pinang untuk melihat keadaan ini. Nasi sudah menjadi bubur di Singapura.