Kisah Benar.
Terkunci di dalam tandas.
Kisah ini berlaku di dalam tandas kakitangan, di Blok B, SMA Maarif, Besut pada hari Selasa, 4 September 2012. Setelah menghantar pulang anak-anakku, aku terus menuju ke sekolah tanpa naik ke atas rumah. Aku perlu menghadiri kelas petang yang bermula pada jam 3.00 petang. Setelah meletak kereta, aku terus menuju ke tandas untuk qada hajat. Seperti biasa, aku menutup pintu tandas dan menguncinya. Setelah selesai qada hajat, aku menuju ke pintu. Alangkah terkejutnya aku, pemegang pintu telah patah. Aku tidak dapat membuka pintu dari dalam. Aku cuba beberapa kali untuk membukanya, tetapi gagal dan memang aku akan gagal membukanya. Pintu hanya dapat dibuka dari luar sahaja.
Nak "call" kawan, telepon tangan aku berada di dalam kereta. Aku terdiam seketika. Menarik nafas panjang-panjang. Bertenang. Tak lama kemudian, aku terdengar suara pelajar, ada pelajar yang berjalan hampir dengan pintu tandas. Aku segera bertindak. Aku ketuk pintu sambil berteriak " buka pintu, buka pintu ". Terdengar pelajar itu bertanya " bakpo? ". Aku segera memberitahunya, " pintu tidak dapat dibuka dari dalam. Pemegangnya telah patah". Pelajar itu membuka pintu. Al-hamdulillah, aku dapat keluar. Pelajar-pelajar tu pulak (Wan Najiah binti Wan Mohd Nor dan Wathiqah Aqilah binti Muhd), ketawa bagai nak pecah perut apabila melihat muka aku. " Cikgu terkunci dalam tandas? " katanya. " Ya lah " jawabku pendek. Aku terus ke kereta. Mengambil buku dan terus masuk ke kelas. Semasa melangkah masuk ke dalam kelas, pelajar itu terus ketawa, apabila tengok muka aku. Ketawa, ketawa dan ketawa lagi.
Sekarang baru aku sedar, betapa perlunya membawa telepon tangan walau ke mana kita pergi. Kita perlu juga berhati-hati dengan dengan apa yang kita lakukan. Kita bukan sahaja perlu berhati-hati semasa berada di jalan raya. Tetapi perlu berhati-hati walau di mana kita berada. Aku sepatutnya memastikan bahawa pintu boleh dibuka dari dalam, sebelum menutupnya. Apa nak dikato, sudah nasib badan. Terima sajalah.