Terkunci Di Dalam Surau
Kisah ini terjadi pada pagi Hari Raya Aidil Adha Tahun 1431H (2010M). Biasanya, aku dan keluarga akan pulang ke rumah ibu mertuaku selepas solat sunat hari raya. Pada tahun ini, aku dan keluarga pulang pada malam hari raya. Aku bersama beberapa orang ahli keluarga pergi menunaikan solat sunat hari raya di surau kampung kami. Kami hanya berjalan kaki ke sana. Selepas selesai solat sunat hari raya, aku bersalam-salaman dengan semua ahli jemaah yang hadir.
Selepas semuanya selesai, aku menunaikan solat sunat dhuha. Selepas berdoa, aku pun menuju ke pintu utama surau. Aku lihat pintu tertutup rapat. Aku cuba membukanya. Alangkah terkejutnya aku, pintu surau telah dikunci dari luar. Semua ahli jemaah tak perasan yang aku masih berada di dalam surau. Aku memandang sekeliling. Aku cuba membuka pintu jendela yang ada. Alhamdulillah, aku berjaya membuka salah satu daripadanya. Aku terpaksa panjat dan keluar ikut jendela. Tidak ada seorang pun yang melihat perbuatan aku. Selepas itu, aku berkunjung ke rumah jiran yang paling dekat dengan surau itu. Hampir semua ahli jemaah lelaki, ada di atas rumah itu sedang menjamu selera. Dengan selamba, aku naik ke atas rumah dan turut menjamu selera. Tidak ada seorang pun yang bertanya, kenapa aku lambat.
Sehingga kisah ini ditulis, aku tidak menceritakan kisah malang yang menimpa diriku kepada sesiapa pun jua. Biarlah dia menjadi salah satu daripada seribu satu rahsia hidupku. Sepatutnya, orang yang hendak mengunci pintu tu pastikan dulu bahawa tidak ada lagi orang di dalam surau itu, sebelum menguncinya. Lagi pun, sepasang selipar aku, masih berada di tangga surau itu.