K'Teh Ke Matrikulasi Kedah

Anakku yang keempat, Nor Hazwani (panggilan mesra, K'Teh) telah mendapat tawaran belajar di Kolej Matrikulasi Kedah, Changloon. Tarikh pendaftaran ialah pada 27 Mei 2013. Aku dan keluarga bertolak ke Kedah pada 26 Mei 2013. Jalan yang kami lalui adalah Jerteh - Jeli - Grik - Sungai Petani - Alor Setar.

Dalam perjalanan, kami berhenti rehat di Stesen Petronas Jeli. Pastinya masuk tandas untuk qada hajat. Lepas tu membeli makanan ringan.  Hentian Titiwangsa adalah tempat rehat yang kedua. Ramai orang berehat di sini. Kemudahan yang disediakan adalah memuaskan. Kami mengambil peluang untuk bergambar kenangan berlatarbelakangkan bukit-bukit. Pemandangannya indah sekali. Suhu juga boleh tahan. Terasa macam berada di Cameron Highlands.


Lebih kurang 30 minit berehat, kami meneruskan perjalanan ke Alor Setar. Kami sampai di perkarangan hotel pada jam 4.30 petang. Kami bermalam di Hotel Grand Cyrstal, Alor Setar. Bayarannya hanya RM 100 sahaja kerana aku menggunakan khidmat Agoda.com. Bayaran sebenar bilik itu ialah RM 200 ++. Kami menginap di bilik 525. Setelah mendaftar bilik, kami terus ke Pekan Rabu untuk membeli-belah. Tak sah kalau tak menjejak kaki ke Pekan Rabu jika berkunjung ke Alor Setar. Selepas ke Pekan Rabu, kami berehat di bilik. Makan nasi bungkus sahaja.

Pada jam 8.00 pagi 27 Mei 2013, kami berlepas ke Kolej Matrikulasi Kedah. Kami berhenti untuk makan pagi di salah sebuah restoran di tepi lebuhraya. Makanannya sedap dengan harga yang berpatutan.