CERITA PENDEK

PAK NGAH DAUD

Al Fatihah dan hadiahkan kepada Allahyarham Daud bin Abas yang telah kembali ke rahmatullah pada tahun 2006. Seorang insan biasa yang disenangi oleh ramai orang di Kampong Tasek Mengkuang, Besut dan beberapa kampong di sekitarnya. Sebabnya, ialah kesediaan Allahyarham untuk memberi pertolongan kepada sesiapa sahaja yang datang kepadanya. Beliau adalah seorang petani yang tidak tahu membaca dan menulis.
Sepanjang hayatnya, rumahnya tidak putus-putus dikunjungi oleh orang ramai. Beliau bukan sahaja boleh mengurut, malah boleh "meredakan" berbagai jenis penyakit seperti sakit perut, terseliuh dan gangguan tidur. Kebiasaannya, pesakit yang sama akan datang ke rumahnya beberapa kali kerana berpuas hati dengan "servis" yang diberikan.
Pak Ngah bukan sahaja memberi "servis" di rumahnya, tetapi tidak pernah menolak untuk merawat pesakit di rumah pesakit itu sendiri. Biasanya, Pak Ngah dijemput oleh keluarga pesakit. Sekiranya rumah pesakit dekat, Pak Ngah akan pergi dengan menunggang motosikal buruknya. Pak Ngah tidak pernah menolak apabila dijemput. Inilah kelebihan yang ada Pak Ngah. Malah isterinya, Mak Ngah Sinah, sentiasa membantu untuk mengingatkan Pak Ngah supaya memenuhi setiap jemputan pesakit. Kesediaan suami isteri ini untuk memberi sumbangan kepada pesakit amat dikagumi. Mak Ngah tidak pernah mengeluh dengan kesibukkan Pak Ngah.
Atas kesediaan Pak Ngah menolong orang ramai tanpa mengenal penat lelah, Allah SWT telah memberi rezeki yang banyak kepadanya. Satu demi satu bidang tanah sawah atau kebun (getah, buah-buahan) dapat dibeli oleh Pak Ngah secara tunai. Ke mana Pak Ngah pergi, ada saja orang yang menegurnya. Semasa Pak Ngah dirawat di Hospital USM Kubang Kerian, Kelantan, katilnya tidak putus-putus dikunjungi oleh orang ramai. Ada dikalangan kakitangan wad yang bertanya "pak cik kerja apa" kerana Pak Ngah dikunjungi oleh ramai pelawat pada setiap hari.
Pengajaran yang kita dapati ialah semakin ramai orang yang kita kenali, semakin bahagia dan semakin kayalah kita. Jangan berat tulang. Berilah pertolongan yang kita mampu kepada sesiapa sahaja, samada orang kita kenali atau tidak. Mereka adalah hamba Allah yang memerlukan pertolongan untuk membolehkan mereka hidup bahagia. Janganlah kedekut untuk memberi sumbangan wang, tenaga, atau buah fikiran untuk membahagiakan orang lain. Apabila mereka gembira dan bahagia, InsyaAllah, Allah SWT akan mencampakkan kegembiraan dan kebahagiaan kepada kita.