TERNYATA kini banyaknya buku-buku mengenai Islam dalam bahasa Inggeris. Lalu dicatat oleh Profesor John Esposito: "Ramai percaya bahawa pada peringkat pertengahan pertama abad ke-21 Islam akan menjadi agama kedua terbesar di Amerika. Beliau ialah Ketua Editor Oxford Encylopedia of the Modern Islamic World dan The Oxford History of Islam. Menurutnya kira-kira enam juta warga Islam di Amerika kini lebih ramai dari golongan Episcopalian.
Lebih 2,100 masjid dan pusat-pusat Islam telah dibina di serata tempat di Amerika di pekan-pekan kecil dan perkampungan serta bandar-bandar besar. Ini kerana warga Islam telah berada di Amerika sejak abad ke-19 lagi. Kedatangan mereka dari waktu Columbus termasuk golongan Moriscos (Islam Sepanyol) selain dari hampir 20 peratus hamba abdi Afrika walaupun ada yang kemudian dipaksa masuk agama Kristian. Yang lain ialah warga India dan Arab.
Masyarakat Islam paling ramai kini ialah di New York, Boston, Chicago, Los Angeles, Houston, Detroit dan Toledo. Pelbagai hal mengenai kehadiran mereka kian terserlah berikutan peristiwa-peristiwa termasuk revolusi Iran, Perang Teluk Parsi dan peristiwa-peristiwa di Pakistan. Sementara itu bilangan warga Islam di Eropah Barat telah meningkat daripada 10 hingga 15 juta. Paling ramai ialah di negara Perancis, Jerman dan Britain. Bilangan kecil ialah di negeri Sepanyol, Belanda, Sweden, Denmark, Norway dan Austria. Paling ramai warga Islam di Eropah ialah di negeri Perancis sejumlah lima juta. Masjid-masjid besar telah dibina di Paris dan Lyons.