Peristiwa 29 April 2010 (Khamis)

Hari ini, Khamis, 29 April 2010, aku didatangi oleh Muhammad Hafiz Khairunnajmi, seorang pelajar Tingkatan 5 tahun 2009. Selepas memberi salam, dia menghulurkan tangan untuk bersalam dan mencium tangan aku. Dia kelihatan ceria dan gembira. Dia memaklumkan bahawa telah mendapat tawaran untuk mengikuti Program Matrikulasi di Kolej Matrikulasi Perlis. Pendaftaran akan diadakan pada 10 Mei 2010. Dia memaklumkan bahawa beberapa orang rakannya juga mendapat tawaran yang sama. Aku mengucapkan tahniah dan menasihatkan dia belajar dengan bersungguh-sungguh. Dia memohon diri setelah menghulurkan tangan dan mencium tangan aku sekali lagi.

9.15 Pagi:  Seorang lagi pelajar, Mohd Khairie bin Jusoh datang menemui aku. Dia memohon pertolongan untuk mencetak beberapa helai maklumat yang diperlukan untuk dibawa ke temuduga di IPG Sultan Mizan, Besut.

Bagi seorang guru, ucapan terima kasih daripada pelajar-pelajarnya sudah memadai. Bukan meminta dibalas dengan wang ringgit. Cukuplah sekadar dihormati. Sejuk rasa hati dengan akhlak yang ditunjukkan oleh pelajar tadi.

LAWATAN KE VIETNAM (21 - 24 April 2010)

Hari Pertama, 21 April 2010 (Rabu)

7.30 Pagi : Rombongan kami berjumlah 56 orang berkumpul di Lapangan Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, Kelantan. Rombongan kami diketuai oleh YB Nawi bin Mohammad, ADUN Kawasan Hulu Besut, Pengerusi Majlis Belia Daerah Besut, Terengganu. Antara personaliti utama yang bersama dalam rombongan ini ialah bekas Pegawai Daerah Besut (kini Pegawai Daerah Hulu Terengganu), Yang Dipertua, Majlis Daerah Besut, Pegawai Pelajaran Daerah, Besut, Penolong Pegawai Pelajaran Daerah, Besut dan Pengetua, SMK Tengku Mahmud, Besut.

Dari kiri ke kanan : Tuan Yusof, Cg. Razak Abd Rahman, Cg. Zainuddin Salleh dan Cg. Mohd Zaiki Ismail