Lawatan Bermaklumat ke Jogjakarta, Indonesia

Pada 18 - 21 Disember tahun 2008, aku dan isteri telah berpeluang untuk mengikuti rombongan ke Jogjakarta, Indonesia. Lawatan ini dianjurkan oleh Persatuan Belia MAYC Negeri Terengganu. Seramai 30 orang ahli rombongan yang terdiri daripada AJK dan keluarga telah selamat pergi dan selamat pulang ke tanah air. Rombongan ini diketuai oleh Tuan Haji Alias bin Mustaffa (lebih mesra dengan panggilan Abang Yah), Pengerusi Persatuan Belia MAYC Negeri Terengganu.

Ahli rombongan lain ialah Tuan Haji Razali bin Jusoh (bersama isteri dan 2 orang anak), Encik Mohd Yusop bin Majid (Pengerusi MBNT, Naib Pengerusi MAYC Negeri Terengganu, Bekas YB Parlimen Setiu), Encik Abdul Mubin bin Ismail (SU MAYC Negeri Terengganu), Encik Mohd Rosli bin Awang (PSU MAYC Negeri Terengganu), Tuan Haji Mohamad bin Musa dan isteri, Tuan Haji Mazri bin Husin dan isteri, Tuan Haji Ahmad Nawayi bin Mohamad, Encik Laili bin Ismail (bersama isteri dan anak gadisnya), Encik Razak bin Abd Rahman dan isteri, Encik Mat Yusof bin Mat Ali dan isteri, Puan Haniza binti Mohd Noor, YM Tengku Fauziah binti Tengku Ngah, Tuan Haji Ngah bin Bidin dan isteri, Cik Rohaya binti Wahab, Cik Nor Diana binti Jusoh dan Puan Intan (Pengurus Syarikat Pelancongan) dan suaminya.

Rombongan ini telah memilih penerbangan Air Asia untuk pergi dan balik. Perjalanan dari LCCT, Sepang ke lapangan terbang di Jogjakarta mengambil masa selama 2 jam 30 minit. Perjalanan pergi bertolak jam 1.30 petang dan selamat mendarat pada jam 4.00 petang. Selepas menjalani proses pemeriksaan masuk, kami disambut oleh pemandu pelancong yang ramah mesra. Dengan menaiki bas yang telah sedia menunggu, kami dibawa ke hotel penginapan, Abadi Hotel. Setelah selesai proses "check in", kami segera masuk ke bilik masing-masing. Perkara pertama yang kami lakukan ialah solat jamak ta'akhir. Setelah itu, kami berehat setelah mengharungi perjalanan yang jauh dan memenatkan.
Salah satu tempat yang kami lawati ialah Chandi Borobudor, satu daripada 7 benda ajaib di dunia. Aku dan isteri serta beberapa orang ahli rombongan mengagahi diri untuk mendaki chandi ini setapak demi setapak sehingga ke puncak yang paling tinggi. Sepanjang pendakian, kami diberi penerangan oleh seorang petugas di chandi yang pernah dilawati oleh pemain bola sepak terkenal England, David Beckham dengan menaiki helikopter. Terdapat banyak ukiran yang cantik dan unik pada batu yang dijadikan dinding chandi ini. Pemandangan di puncak amat menarik sekali. Lantas teringat aku akan kebesaran Allah SWT yang telah mencipta alam ini dengan penuh kecantikan dan kesempurnaan.

Binaan chandi ini, menunjukkan bahawa orang-orang di zaman silam sanggup berkorban untuk membina tempat yang dianggap "suci" bagi mereka. Bayangkan betapa gigihnya mereka mengangkut batu-batu yang besar untuk membina chandi ini.