LAWATAN KE VIETNAM (21 - 24 April 2010)

Hari Pertama, 21 April 2010 (Rabu)

7.30 Pagi : Rombongan kami berjumlah 56 orang berkumpul di Lapangan Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, Kelantan. Rombongan kami diketuai oleh YB Nawi bin Mohammad, ADUN Kawasan Hulu Besut, Pengerusi Majlis Belia Daerah Besut, Terengganu. Antara personaliti utama yang bersama dalam rombongan ini ialah bekas Pegawai Daerah Besut (kini Pegawai Daerah Hulu Terengganu), Yang Dipertua, Majlis Daerah Besut, Pegawai Pelajaran Daerah, Besut, Penolong Pegawai Pelajaran Daerah, Besut dan Pengetua, SMK Tengku Mahmud, Besut.

Dari kiri ke kanan : Tuan Yusof, Cg. Razak Abd Rahman, Cg. Zainuddin Salleh dan Cg. Mohd Zaiki Ismail


Bersama isteri di LCCT

9.00 Pagi : Pesawat AirAsia AK 5281 bertolak ke Kuala Lumpur. Aku duduk dikerusi bernombor 17E, di bahagian tengah pesawat. Dari tempat duduk, aku dapat melihat sayap kapal terbang.

9.55 Pagi : Pesawat mendarat di LCCT, Kuala Lumpur setelah terbang selama 55 minit.

10.00 Pagi : Kami berehat di LCCT untuk menunggu penerbangan ke Ho Chi Minh City, Vietnam. Kami mengambil kesempatan untuk membuat pertukaran matawang dari Ringgit Malaysia ke Dollar Amerika. Kami juga menikmati makanan "tengahari" di "Food Court" yang disediakan di LCCT.

12.00 tgh : kami mula mempersiapkan beg untuk dibawa bersama ke Vietnam

12.30 ptg : Proses check-in mula dijalankan. Selepas ini, kami berkumpul dibalai berlepas. Kami mengambil kesempatan untuk solat jamak-qasar zohor dan asyar.

2.30 ptg: Semua penumpang diminta menaiki pesawat AirAsia AK882. Aku duduk di kerusi bernombor 9D. Seperti biasa, kami dilayan dengan mesra oleh pramugara yang berpakaian hitam dan pramugari yang berpakaian seragam merah.

2.45 ptg; Pesawat berlepas dari LCCT ke Vietnam. Penerbangan akan mengambil masa selama 1 jam 50 minit.

4.45 ptg (3.45 petang Waktu Vietnam): Kami selamat mendarat di Lapangan Antarabangsa Vietnam. Lapangannya besar dan selesa seperti LCCT di Kuala Lumpur. Proses "kemasukan" ke Vietnam lebih licin dan cepat berbanding dengan di Lapangan Terbang di Medan, Indonesia.
Pemandangan di Lapangan Terbang di Ho Chi Minh

Rombongan kami dibahagi kepada Group A dan Group B. Setiap kumpulan menaiki bas yang menempatkan seorang Pemandu Pelancong. Kami dibawa untuk mengelilingi Bandaraya Ho Chi Minh. Pemandangannya sangat berbeza dengan di Malaysia. Di sini, jalanraya dipenuhi dengan motosikal. Kereta tidak banyak. Kereta yang ada terdiri daripada kereta yang berharga mahal seperti Mercendez, Honda dan lain-lain model kereta mewah. Amat menakjubkan apabila kereta Toyota Innova dijadikan teksi.


Rombongan kami menginap di Hoang Phu Gia Hotel yang terletak di tengah bandar Ho Chi Minh.

Kami dibawa untuk makan malam di Kedai Shamsuddin, salah satu daripada restoran yang menyediakan makanan halal di bandar ini. Makanan sungguh lazat. Tambahan pula, kami pun sedang lapar setelah menempuh perjalanan jauh dari Kuala Lumpur.
Kenangan di Kedai Shamsudin

Menikmati makan malam di Kedai Shamsudin

Selepas makan malam, kami di bawa ke hotel penginapan, Hotel Hoang Phu Gia yang terletak di tengah bandaraya ini. Pada sebelah malam, kami diberi kebebasan untuk menjalankan apa-apa aktiviti.

Hari Kedua, 22 April 2010 (Khamis)
6.30 pagi : Sarapan pagi di hotel penginapan. Kami telah diberitahu agar memakan makanan yang tidak melibatkan daging kerana tidak diketahui tentang kehalalannya. Aku  hanya memakan roti dan buah tembikai dan nenas dan air kopi.

7.30 pagi : Kami menuju ke Gu Ci Tunnel. Perjalanan ke sana mengambil masa selama 1 jam 30 minit.
Kenangan bersama patung askar Vietnam

Bersama Cg. Wan Zaki dan Cg. Roslan Muda di hadapan rangka kereta kebal

9.30 pagi : Kami sampai di Gu Ci Tunnel. Setelah diberi taklimat dan melihat tayangan video berkenaan peperangan diantara tentera Vietnam dan Amerika, kami mula "mengembara" di dalam "kem gerila Vietnam".

Bersama Cg. Ismail Shafie di hadapan lubang rahsia Terowong rahsia


Kawasannya luas ditumbuhi pokok-kokok yang kecil dan sederhana besar. Kami diberi penerangan oleh Pemandu Pelancong pada setiap tempat yang kami lalui. Kami dibawa ke lubang kecil yang merupakan pintu masuk ke dalam terowong rahsia yang dibina sebanyak 3 tingkat. Pada tingkat pertama, kedalamannya ialah 3 - 4 meter. Pada tingkat ini, terdapat rumah tempat menginap, hospital, dapur dan workshop. Pada tingkat kedua, kedalamannya 5 - 6 meter dan pada tingkat ketiga, kedalamannya 7 - 8 meter.


Terdapat beberapa perkara yang menakjubkan di sini. Semua terowong dibina dengan menggunakan dua alat sahaja iaitu "cangkul kecil" dan "raga rotan". Semuanya menggunakan tenaga manusia. Jelas menunjukkan mereka sangat tekun dan gigih bekerja untuk menyiapkan terowong ini. Pengorbanan mereka kepada tanah air mereka sungguh besar.


Di dalam terowong ini, mereka hanya memasak satu kali sehari iaitu diwaktu pagi. Ini disebabkan asap yang keluar dari dapur tidak mudah dikesan oleh askar Amerika kerana pada masa itu terdapat kabus. Ini menunjukkan betapa cerdiknya mereka - menggunakan sepenuhnya akal yang dikurniakan oleh Allah SWT.

Kami juga ditunjukkan dengan beberapa jenis jerangkap yang digunakan untuk membunuh askar musuh. Sekali lagi, mereka menggunakan akal - kreatif dan kritis.



Di sini juga, kami dihidangkan dengan ubi kayu rebus dan teh o. Enak rasanya, apatah lagi makan di dalam hutan secara beramai-ramai.

11.30 pagi: Kami bertolak balik ke Ho Chi Minh City untuk makan tengahari. Kali ini, kami di bawa ke sebuah lagi restoran makanan halal yang terdapat di sini - Restoran Four Season. Makanan di sini, kurang lazat jika dibandingkan dengan masakan di Restoran Shamsuddin. Ada di antara pekerja di sini yang boleh bercakap melayu.

Selepas menikmati makan tengahari, kami berjalan kaki ke sebuah masjid yang terdapat di bandar ini untuk menunaikan solat jamak zohor dan asyar. 


Kalau di Malaysia, masjid ini adalah sebuah surau. Kemudahan tidak banyak. Kami berjumpa dengan beberapa orang Islam yang tidak boleh bercakap melayu dan bahasa Inggeris.

Selepas itu, kami dibawa ke pasar untuk membeli-belah - salah satu daripada objektif, kami ke sini. Pasarnya besar, dengan berbagai barangan dijual. Antara barangan yang dibeli ialah beg tangan, kain sembahyang, buah tangan dan baju sukan. Harga barangan di sini murah. Sehelai baju T berjenama Adidas (made in Singapore) hanya berharga 3 Dollar ( RM 10.00) sahaja. Tunggu apa lagi, aku beli 6 helai untuk "disedekahkan" kepada ahli keluarga sebagai cenderahati.

7.00 malam : Kami dibawa ke Kedai Shamsudin untuk makan malam. Selepas itu, kami dibawa balik ke hotel penginapan. Pada waktu malam, aktiviti bebas dijalankan. Ramai diantara kami berkunjung ke pasar malam untuk terus membeli-belah. Aku hanya berehat di bilik hotel sambil menontov tv.

Hari Ketiga, 23 April 2010 (Jumaat)

6.30 pagi: Kami bersarapan di hotel.

7.30 pagi: Kami bertolak ke Muara Sungai Mekong. Perjalanan mengambil masa 2 jam. Pemandangan di kiri kanan lebuhraya adalah lebih kurang sama dengan di tempat kita di Malaysia. Banyak sawah padi, lembu kerbau, itik dan pokok-pokok yang ada di tempat kita.

9.30 pagi: Kami selamat sampai di Muara Sungai Mekong. Kami menaiki bot untuk berkunjung ke sebuah pulau. Kami dibawa melawat satu industri kecil yang berasaskan kelapa. Kami diberi makan cokelat yang masih panas. Beberapa buah gerai menjual barangan yang dibuat daripada kelapa menunggu kedatangan tetamu. Proses membeli-belah berlaku lagi. 


Aku dan beberapa orang mengambil kesempatan untuk menikmati rasa durian, salah satu daripada buah kegemaran ku. Harganya ialah uSD1 sekilogram. Isinya kuning. Rasanya enak. Apatah lagi, makan secara beramai-ramai.



Selepas itu, kami dibawa masuk ke sebuah kedai makan. Kami dihidangkan dengan beberapa makanan ringan. Pelayan yang terdiri daripada penduduk pulau, menghidangkan madu lebah yang dicampur dengan bee pollen. Selepas itu, mereka menawarkan beberapa produk untuk dijual. Aku dan 4 orang rakan membeli 5 botol madu lebah dengan harga USD4 sebotol. Kami diberi satu botol secara percuma. Ini adalah salah satu cara mereka berniaga.

Hari Keempat, 24 April 2010 (Sabtu) 

Hari ini, 24 April 2010, merupakan hari ke 4, aku dan rombongan berada di Vietnam. Hari ini juga merupakan hari terakhir kami di sini. Pada jam 12 pm waktu tempatan (1 tgh waktu Malaysia) kami akan check-out daripada Hotel Hoang Phu Gia, tempat kami menginap selama 4 hari 3 malam. 

Selepas sarapan pagi, ramai daripada ahli rombongan keluar ke pasar untuk membeli belah buat kali terakhir. Aku mengisi masa dengan melayari internet di lobi hotel ini yang menyediakan kemudahan internet secara percuma. Aku ingin tahu perkembangan di Malaysia, terutamanya tentang Pilihanraya Kecil Hulu Selangor. Dizaman serba maju ini, seseorang itu boleh mengetahui perkembangan di sesuatu tempat walau di mana ia berada. Semua negara menyediakan kemudahan internet. Dengan itu, berita boleh dicapai dihujung jari.

10.00 Pagi: aku dan isteri mula mengemas barangan yang dibeli di dalam dua buah beg yang kami bawa. Alhamdulillah, semua barangan yang dibeli dapat dimasukkan, tak payah beli beg tambahan. 
12.10 tgh: Kami menunaikan solat jamak dan qasar. 

12.30 tgh: Kami meninggalkan bilik 201, untuk check-out. Ahli rombongan yang lain telah berkumpul di lobi hotel. Persiapan terakhir perlu dibuat sebelum meninggalkan hotel penginapan.
1.00 ptg: Kami menaiki bas untuk menuju ke lapangan terbang. Setiba di sana, kami membawa beg masing-masing untuk "check-in". Setelah selesai, kami mengambil kesempatan untuk menikmati "makan tengahari" di lapangan terbang antarabangsa Vietnam.
Aku terkejut besar apabila mengetahui sebotol air minuman berharga USD2. (RM7). Tapi, aku terpaksa beli jugak. Tak kan nak makan nasi, tanpa meminum air. Sebelum itu, aku telah menempah satu bungkus nasi goreng. Harganya ialah USD4 (RM14). Mahal betul makanan di sini.

3.30 ptg: Kami "check-in" untuk berjalan ke balai berlepas. 

4.00 ptg: Kami mula berjalan masuk ke pesawat AirAsia untuk terbang ke LCCT, Kuala Lumpur. Kali ini, aku duduk di kerusi bernombor 5D, di bahagian depan kapalterbang yang mempunyai 186 tempat duduk. 

6.50 ptg: Kapaltebang yang kami naiki, selamat mendarat di LCCT. Alhamdulillah, kami telah selamat menjejakkan kaki di bumi Malaysia, tanah tumpah darah, yang jauh lebih baik daripada bumi Vietnam. Syukurlah, aku menjadi salah seorang daripada rakyat Malaysia. Sebaik, kami melangkah masuk ke bangunan terminal, azan maghrib dikemundangkan. Setelah menjalani pemeriksaan Kastam, kami mendapatkan beg-beg masing-masing dan terus membuat "check-in" untuk menaiki pesawat ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, Kelantan.

9.30 mlm: Kami menaiki pesawat AK5294, yang merupakan pesawat terakhir disepanjang lawatan kami.


10. 30 mlm: Pesawat yang kami naiki, selamat mendarat di Pengkalan Chepa. Di sini, berakhirlah lawatan kami selama 4 hari 3 malam. Setelah mengemaskan beg masing-masing, kami bersalaman antara satu sama lain. Kami meneruskan perjalanan ke rumah masing-masing secara berasingan.