Majlis Konvokesyen UUM Tahun 2011

Pada 4 Oktober 2011, aku dan keluarga ke Universiti Utara Malaysia, sintok, Kedah Darul Aman untuk menghadiri Majlis Konvokesyen anak kedua kami. Rombongan kami terdiri daripada aku, isteri, anak kedua, anak keempat dan anak saudara.
Dari Kanan : Nor Hafizah, isteriku, aku, Nor Hazwani, Muhammad Hafizuddin

Dari Kanan : Muhammad Hafizuddin, isteriku, Nor Hazwani, Mohd Aizul Hakim (Anak Saudara)


4 Oktober 2011 (Selasa) 

8.20 pagi : Perjalanan dimulakan. Sebelum bertolak, isteriku telah membuat persiapan untuk makan-minum semasa dalam perjalanan. Untuk memulakan perjalanan, aku membaca ayat al-Khursi dan ayat 58 surah Yaasin sebanyak 28 kali untuk memohon keselamatan daripada Allah SWT semasa dalam perjalanan nanti. 


9.30 pagi : Kami berhenti di Masjid Batang Merbau, Tanah Merah untuk qada hajat. Aku mengambil kesempatan untuk menunaikan Solat Sunat Dhuha. Alhamdulillah. Perjalanan diteruskan setelah semua merasa lega.


11.00 pagi : Kami sampai di Hentian Titiwangsa. Setelah memandu selama hampir 3 jam, aku harus berhenti rehat. Selain untuk memberi peluang untuk berehat, isteri dan anak-anak dapat melihat pemandangan yang menarik. Inilah salah satu daripada Kebesaran Allah SWT. Ciptaan Allah amat menarik dan cantik. Memberi ketenangan kepada sesiapa sahaja yang memandangnya. 


Hentian Titiwangsa telah dibaikpulih untuk memberi keselesaan kepada pengunjung. Tandasnya bersih dan banyak. Surau yang disediakan juga agak luas dan bersih. Terdapat juga sebuah restoran yang menyediakan makanan dan minuman dengan harga yang berpatutan. Selain daripada itu, terdapat sebuah Nurseri Titiwangsa, menyediakan perkhidmatan menjual pokok-pokok bunga secara borong atau runcit. Pelbagai jenis bunga disediakan untuk pilihan pengunjung.