KAMPONG GERAI

Kampong Gerai terletak lebih kurang 5 km dari Bandar Jerteh, Besut, Terengganu. Ianya terletak di pinggir jalan utama Kuala Terengganu - Kota Bharu Kelantan. Sebahagian besar daripada penduduknya adalah petani, terutamanya penanam padi. Sekarang ini, sudah terdapat ramai pelajar dari kampong ini yang berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti. Sudah terdapat ramai dari mereka yang telah berjaya menjawat jawatan penting di dalam jabatan atau agensi kerajaan. Sebahagian besar daripada mereka bertugas sebagai guru. Taraf hidup penduduk kampung ini telah meningkat dari setahun ke setahun.
Terdapat dua jabatan kerajaan yang menambahkan populariti kampung ini, Jabatan Pertanian dan Lembaga Kemajuan Terengganu Utara (KETARA). Ramai daripada penduduknya yang mendapat peluang pekerjaan di sini, sama ada sebagai pekerja tetap atau sementara atau kontrak.
Satu lagi mercu tanda kampung ini ialah masjid, yang menjadi salah satu masjid yang dikunjungi oleh penumpang-penumpang bas express dari atau ke Kota Bharu untuk mengerjakan solat terutama solat subuh.

Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1430H.

9 Mei 2009 : Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1430H telah diadakan pada hari ini.

Aku adalah seorang Ahli Majlis Mesyuarat, Kelab Belia Kampong Raja, Besut, Terengganu. Terdapat beberapa aktiviti tahunan yang dijalankan oleh kelab kami. Salah satu daripadanya ialah sambutan maulidur rasul. Pada tahun 2009, bersamaan 1430H, sambutan ini telah diadakan pada 9 Mei 2009.

Acara dimulakan dengan perhimpunan pasukan-pasukan yang mengambil bahagian. Majlis dimulai dengan bacaan doa, diikuti dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Qur'an, ucapan oleh Presiden kelab, ucapan perasmian oleh YB kawasan kami. Setelah semuanya selesai, perarakan dimulakan dengan diiringi dengan bacaan salawat kepada junjungan besar Rasulullah SAW. Jarak perarakan adalah lebih kurang 3 km sahaja di sekitar Pekan Kampong Raja. Sepanjang perarakan, setiap pasukan akan diadili oleh para juri yang dilantik untuk memilih pasukan terbaik.

Lawatan Bermaklumat ke Jogjakarta, Indonesia

Pada 18 - 21 Disember tahun 2008, aku dan isteri telah berpeluang untuk mengikuti rombongan ke Jogjakarta, Indonesia. Lawatan ini dianjurkan oleh Persatuan Belia MAYC Negeri Terengganu. Seramai 30 orang ahli rombongan yang terdiri daripada AJK dan keluarga telah selamat pergi dan selamat pulang ke tanah air. Rombongan ini diketuai oleh Tuan Haji Alias bin Mustaffa (lebih mesra dengan panggilan Abang Yah), Pengerusi Persatuan Belia MAYC Negeri Terengganu.