Kesihatan

Hari ini, Selasa, 9hb Mac 2010, aku ke Klinik Kesihatan Sri Medang, Besut. Tujuannya untuk mendapatkan rawatan kerana sakit perut. Kelmarin dan semalam, aku hanya mampu untuk tidur sahaja. Bahagian sebelah kanan perut aku, terasa sakit. Setelah diurut oleh ibu mertua aku, yang kebetulan datang ke rumah, sakitnya reda sedikit. 

Aku menerima rawatan daripada Mohd Tarmeze bin Mohamad,  Penolong Pegawai Perubatan. Rawatan yang diberikan adalah tekanan darah, suhu badan dan bahagian perut. Selepas itu, beliau meminta aku membuat pemeriksaan darah. Aku berkunjung ke bilik no. 6 dan disambut oleh seorang jururawat dengan penuh senyuman. Beliau menjelaskan bahawa tugasnya untuk mengambil sedikit darah di bahagian tangan kananku. Aku dapat mendengar dengan jelas, ucapan Bismillahirrahmanirrahim diucapkan oleh jururawat sebelum menyuntik jarum ditanganku.  Aku turut mengucapkan perkataan yang sama. Aku merasa amat gembira, kerana beliau mengucapkan Basmallah sebelum menjalankan tugasnya.  Semoga amalannya tergolong dalam kategori ibadat yang akan mendapat pahala yang setimpal daripada Allah SWT.

Selepas itu, aku membawa sampel darah ke makmal untuk dianalisa. Setelah mendapat keputusan, aku membawa analisa itu bertemu dengan Pembantu Perubatan sekali lagi. Setelah diteliti, beliau memberitahu bahawa aku mengalami penyakit Apendik, tapi masih diperingkat awal, belum serius lagi. Beliau bertanya samada aku bersedia untuk mendapat rawatan seterusnya di Hospital Daerah Besut, Jerteh. Aku mengatakan, sekiranya ada kaedah lain, aku tak mahu dimasukkan ke wad. Setelah berbincang, beliau mencadangkan agar aku memakan ubat yang diberikan untuk tempoh satu minggu. Sekiranya, aku merasa sakit secara berterusan, aku dinasihatkan segera mendapat rawatan di hospital. Rawatan yang paling berkesan ialah membuat pembedahan.

Aku sudah mempunyai pengalaman menjalani pembedahan pada tahun 1996 di Hospital USM, Kubang Kerian. Sekiranya boleh dielakkan, aku tak mahu dibedah lagi. Setelah melakukan pembedahan, aku tidak lagi boleh mengangkat barangan yang beratnya melebihi 10 kg. Sekiranya dilakukan jugak, aku akan merasai kesakitan di bahagian pinggang.

SAMBUTAN MAULIDURASUL 1431H

Hari ini, Isnin, 15 Rabiul Awal 1431H bersamaan 1 Mac 2010, SMA Maarif mengadakan Majlis Sambutan Hari Kelahiran Rasulullah SAW. Sambutan dimulai dengan semua pelajar dan guru berhimpun di padang permainan mengikut Unit Uniform. Suasana amat ceria kerana guru dan pelajar-pelajar lelaki memakai pakaian lengkap baju melayu. Guru dan pelajar perempuan pula memakai baju kurung mengikut warna yang telah dipilih untuk Unit masing-masing. Berkumandanglah laungan selawat ke atas junjungan besar Muhammad SAW.
Setelah semuanya bersedia, perarakan dimulakan melalui jalan sekitar sekolah dan kompleks rakan muda dengan laugan selawat. Inilah kali pertama, seingat saya, pihak sekolah ini mengadakan perarakan Malulidul Rasul. Tahniah, diucapkan kepada Pengurusan sekolah yang telah mengambil inisiatif yang amat bermakna ini.
Selepas itu, pelajar-pelajar mengikuti beberapa program yang telah diatur oleh pihak Badan Dakwah. Antaranya ialah forum dan pertandingan pidato. Setelah semua acara dilangsungkan, majlis penyampaian hadiah kepada pelajar-pelajar yang berjaya diadakan. Akhirnya, pelajar-pelajar menikmati jamuan ringan yang disediakan oleh pihak sekolah.
Semoga sambutan hari ini, mengingatkan pelajar-pelajar tentang kelahiran insan yang mulia di muka bumi ini. Dan memberi sedikit pengetahuan tentang Rasulullah SAW.