Persekolahan Tahun 2011

Hari ini, Isnin 3hb Januari 2011 merupakan hari pertama sesi persekolahan bagi tahun 2011. Sepatutnya, mengikut kalendar persekolahan, sekolah dibuka mulai kelmarin, Ahad, 2hb Januari 2011. Tetapi, oleh kerana untuk meraikan kejayaan pasukan Harimau Malaya menjulang Piala AFF Suzuki 2010, kerajaan telah memberi cuti umum kepada semua kakitangannya. Aku turut merasa bangga dengan kejayaan ini. Aku dan seisi keluarga sama-sama bersorak memberi sokongan kepada para pemain muda Malaysia. Walaupun usia mereka masih muda, tetapi semangat juang yang ditunjukkan membangkitkan semangat baru dikalangan seluruh penduduk negara ini. Tanpa mengira bangsa, keturunan dan fahaman politik, mereka sama-sama berkumpul memberi sokongan moral kepada anak buah Rajagobal.

Seperti biasa, hari ini dimulai dengan perhimpunan pagi di medan perhimpunan. Semua guru dan belajar berada di sini untuk mendengar amanat daripada tuan pengetua. Hanya tuan pengetua yang memberi ucapan. Antaranya, beliau mengucapkan tahniah dan selamat datang kepada pelajar tingkatan 1, yang pertama kali menjejakkan kaki di bumi Maarif. Beliau juga mengucapkan tahniah kepada semua pelajar PMR 2010 kerana telah mencatat keputusan yang memberangsangkan. Juga, beliau mengingatkan kembali agar semua warga Maarif membetulkan niat untuk menjalankan tanggungjawab masing-masing. Yang penting, setiap orang perlu berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mencapai misi dan visi sekolah.

Kecurian

Hari ini merupakan satu hari yang malang bagi aku dan keluarga. Tidak seperti hari-hari biasa, aku hanya bangkit dari tidur pada jam 6.30 pagi. Aku terus memasuki bilik air untuk qada hajat. Semasa berada di dalam bilik air, aku terdengar bunyi yang pelik seperti jendela ditutup oleh orang. Aku bergegas keluar dan terkejut apabila mendapati tingkat di bilik dapur terbuka. Aku memeriksanya, kelihatan dengan jelas, jendela itu dikumpil. Sahlah ada pencuri yang telah memasuki rumah aku. Aku memeriksa barang-barang seperti kapak, parang dan dompet. Semuanya elok, tak diusik oleh orang. Aku merasa lega kerana tiada barang yang hilang. Aku mengejutkan isteriku dan menceritakan apa yang telah terjadi. Isteriku terkejut dan kelihatan tidak percaya dengan apa yang terjadi.

Oleh kerana telah lewat, aku terus ke bilik air untuk mandi. Semasa mandi, aku teringatkan notebook anakku. Aku keluar untuk melihat di tempat biasa yang diletaknya. Notebook tiada di situ. Aku memeriksa di dalam bilik tidurnya. Juga tiada. Aku meminta isteriku mengejutkan anakku dan bertanyakan tempat dimana notebooknya disimpan. Ternyata, notebook itu telah hilang.

Setelah selesai bersarapan, aku menuju ke sekolah. Setelah menyelesaikan urusan 'punch card', aku bertemu dengan Pengetua dan menceritakan apa yang telah berlaku. Aku segera ke Balai Polis Kampong Raja setelah memohon kebenaran daripada Pengetua. Aku menemui Koperal Sabri, pegawai yang bertugas dan membuat laporan tentang rumahku yang telah dipecah oleh pencuri. Setelah semuanya selesai, aku dibawa berjumpa dengan Sarjan Zainuddin, Penolong Pegawai Penyiasat. Setelah bertanya beberapa soalan, Sarjan Zainuddin segera ke rumahku untuk menyiasat apa yang berlaku.

Sesampainya, Sarjan Zainuddin dan seorang jurugambar telah menjalankan tugas mereka. Isteriku memberitahu beberapa barang kemasnya juga hilang.

Biar apapun, ini adalah satu ujian daripada Allah SWT untuk menguji aku dan keluargaku. Dalam kesedihan, aku melahirkan rasa syukur kerana semua keluarga selamat. Orang lain menerima "bala" dan "ujian" yang lebih besar dan lebih teruk daripada aku.

Di manakah Silapnya?

Aku telah meminta kerani sekolah menulis satu memo ditujukan kepada semua guru yang meminjam notebook sekolah. Kandunganya ialah supaya guru berkenaan membawa notebook masing-masing ke makmal komputer sekolah pada hari ini, Ahad, 17 Oktober pada jam 9.00 pagi - 12.00 tengahari. Tujuannya ialah untuk pengemaskinian stok. Memo itu ditampal pada papan kenyataan berdekatan dengan mesin "punch card".

Tunggu punya tunggu. Tidak seorang pun guru yang datang dalam selang masa tersebut. Di mana silapnya?