Persekolahan Tahun 2011

Hari ini, Isnin 3hb Januari 2011 merupakan hari pertama sesi persekolahan bagi tahun 2011. Sepatutnya, mengikut kalendar persekolahan, sekolah dibuka mulai kelmarin, Ahad, 2hb Januari 2011. Tetapi, oleh kerana untuk meraikan kejayaan pasukan Harimau Malaya menjulang Piala AFF Suzuki 2010, kerajaan telah memberi cuti umum kepada semua kakitangannya. Aku turut merasa bangga dengan kejayaan ini. Aku dan seisi keluarga sama-sama bersorak memberi sokongan kepada para pemain muda Malaysia. Walaupun usia mereka masih muda, tetapi semangat juang yang ditunjukkan membangkitkan semangat baru dikalangan seluruh penduduk negara ini. Tanpa mengira bangsa, keturunan dan fahaman politik, mereka sama-sama berkumpul memberi sokongan moral kepada anak buah Rajagobal.

Seperti biasa, hari ini dimulai dengan perhimpunan pagi di medan perhimpunan. Semua guru dan belajar berada di sini untuk mendengar amanat daripada tuan pengetua. Hanya tuan pengetua yang memberi ucapan. Antaranya, beliau mengucapkan tahniah dan selamat datang kepada pelajar tingkatan 1, yang pertama kali menjejakkan kaki di bumi Maarif. Beliau juga mengucapkan tahniah kepada semua pelajar PMR 2010 kerana telah mencatat keputusan yang memberangsangkan. Juga, beliau mengingatkan kembali agar semua warga Maarif membetulkan niat untuk menjalankan tanggungjawab masing-masing. Yang penting, setiap orang perlu berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mencapai misi dan visi sekolah.