AKU SEKARANG

Sekarang, aku bertugas sebagai seorang guru di Sekolah Menengah Agama Maarif, Kampong Raja, Besut, Terengganu. Aku mula bertugas di sekolah ini pada 1 Jun 1995 setelah ditukarkan dari Sekolah Menengah Agama Wataniah, Alor Keladi, Jerteh, Besut, Terengganu (sekarang dikenali dengan SMKA Wataniah). Aku mengajar mata pelajaran Matematik Tambahan untuk pelajar tingkatan 4 dan 5.

Selain mengajar, aku juga diberi kepercayaan untuk memegang jawatan Setiausaha Jadual Waktu dan Ketua Penasihat Makmal Komputer sekolah. Dalam bidang sukan, aku dilantik sebagai Pengurus dan Jurulatih Sepak Takraw sekolah. Pada tahun 2008, aku telah diberi kepercayaan untuk melatih pasukan sepak takraw SMA Terengganu ke Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah Menengah Agama Malaysia, Peringkat Zon Utara dan Timur (KESSUMA) kali ke-9 yang diadakan pada 1 - 5 Jun 2008 di Universiti Teknologi MARA, Seri Iskandar, Perak.

Negeri-negeri yang terlibat ialah Perak, Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Kelantan dan Terengganu. Acara-acara yang dipertandingkan ialah bola sepak, bola tampar, sepak takraw, badminton dan ping pong bagi kategori lelaki. Sementara bagi kategori perempuan pula terdiri daripada bola jaring, bola tampar, badminton dan ping pong. Kontijen Terengganu telah menghantar 146 orang peserta yang terdiri daripada 30 orang pegawai lelaki, 5 orang pegawai perempuan, 62 orang peserta lelaki dan 42 orang peserta perempuan.