SEPAK TAKRAW

Dalam sukan sepak takraw, aku telah mendapat lesen sebagai pengadil peringkat Negeri Terengganu pada tahun 1996. Mulai dari tarikh itu, aku telah menjalankan tugas sebagai pengadil di beberapa kejohanan sepak takraw yang dianjurkan di Daerah Besut.


Sempena dengan Sukan Malaysia (SUKMA) ke XII, aku telah terpilih untuk mengikuti Kursus Kepengadilan Sepak Takraw Anjuran Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) dengan kerjasama Persatuan Sepak Takraw Negeri Terengganu (PSTNT). Alhamdulillah, aku telah lulus segala ujian yang dijalankan dan dilantik sebagai pengadil PSM (Pengadil Sepak Takraw Malaysia). Aku telah dipilih untuk menjadi Hakim Garisan pada Kejohanan Sepak Takraw Bawah 23 Tahun (Pra SUKMA) di Stadium Negeri, Kuala Terengganu pada tahun 2008. Oleh kerana tanggungjawab kepada jabatan, aku telah menolak untuk bertugas di SUKMA ke XII. Aku dengan rela hati menerima tugas sebagai jurulatih sepak takraw SMA Terengganu ke Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah Menengah Agama Malaysia di kampus UiTM, Tronoh, Perak.


Kenangan yang tak dapat dilupakan ialah aku telah terpilih untuk bertugas di Kejohanan Sepak Takraw Sedunia (World Sepak Takraw Championship) pada 25 - 31 Mei 2009. Kejohanan ini diadakan di Stadium Tertutup (Stadium Negeri) Kuala Terengganu. Pengalaman bertugas bersama barisan pengadil ISTAF dari beberapa buah negara seperti Thailand, Singapura, Indonesia dan India amat berharga sekali. Aku juga telah berpeluang melihat aksi hebat pemain-pemain daripada 13 buah negara. Mereka terdiri daripada Malaysia, Thailand, Singapura, Indonesia, Vietnam, China, Iran, India, Pakistan, dan Brunei. Kejohanan ini disertai oleh pemain lelaki dan perempuan. Kategori yang dipertandingkan ialah Bergu Lelaki, Bergu Perempuan, Regu Lelaki, Regu Perempuan, Berpasukan Lelaki dan Berpasukan Perempuan. Semua Pegawai dan pemain menginap di Hotel Primula, Kuala Terengganu.