Peperiksaan SPM Tahun 2009

Pada tahun 2009, aku telah dilantik sebagai Ketua Pengawas Peperiksaan SPM di Pusat TG021 - SMKA Wataniah, Alor Keladi, 22000 Jerteh, Terengganu. Aku dibantu oleh Ustaz Hasbullah bin Seman sebagai Timbalan Ketua Pengawas dan 9 orang pengawas. Semuanya, 4 orang pengawas lelaki dan 7 orang pengawas perempuan.

Pengawas lelaki terdiri daripada Ahmad Hasnullah bin Hasan dari SMKA Nurul Ittifaq, Kuala Besut dan Mohd Khairi Anuar bin Haji Awang dari SM Teknik, Besut. Pengawas perempuan pula ialah Puan Hanan bt Ab Rahman (SMA Maarif, Besut), Puan Hazwani bt A Kadir (SK Kuala Besut 2), Puan Noriha bt Abd Ghani (MRSM Kota Putra, Besut), Puan Rohana bt Endut (SMK Tengku Mahmud 2), YM Tuan Mariyah bt Tuan Yacob (SMK Tembila), Puan Zaharah @ Norlida bt Deraman (SK Kuala Besut 2) dan Puan Zaila bt Mat (SMA Maarif, Besut).

Peristiwa yang tidak dapat kami semua lupakan ialah pada hari Isnin, 23 November 2009 apabila kami terpaksa menaiki lori Pejabat Daerah Besut dari Bandar Jerteh ke pusat peperiksaan. Ini disebabkan jalan ke pusat peperiksaan terputus kerana ditenggelami air banjir. Lori yang kami naiki tidak berbumbung dan tidak mempunyai tempat duduk. Tidak keterlaluan, sekiranya kami seolah-olah pekerja yang menaiki lori untuk pergi bekerja di ladang. Cuma, bezanya, kami semua berpakaian kemas. Sepanjang perjalanan pergi dan balik, kami sering tersenyum dan kadang-kadang ketawa apabila mendengar runggutan dan celoteh masing-masing. Ada yang berkata, mengapa pihak yang bertanggungjawab tidak menyediakan kenderaan yang lebih baik untuk menjaga kredibiliti guru. Ada yang mempertikaikan persediaan Pejabat Pendidikan Daerah untuk menghadapi bencana banjir. Ada yang merasa serik untuk bertugas lagi pada tahun-tahun akan datang.

Beginilah nasib seorang guru. Setiap hari perlu berkorban untuk berbakti kepada pelajar dan negara. Bayangkan betapa "lucunya" apabila pengawas perempuan yang "cantik molek" terpaksa memanjat tangga untuk menaiki bahagian belakang lori. Mungkin inilah pengalaman pertama bagi mereka. Seperti saya juga, mereka juga mungkin mengalami sakit-sakit di bahagian labu betis sehingga beberapa hari. Maklumlah, kami terpaksa "bertinggung" di sepanjang perjalanan pergi dan balik. Tak tahu pulaklah apa yang terjadi kepada rakan-rakan guru yang bertugas di SMK Putra dan SMK Bukit Payung.

Walau bagaimana pun, kesusahan dan keperitan yang kami alami terubat sedikit apabila melihat wajah-wajah ceria dan manis calon-calon SPM di pusat ini, lebih-lebih lagi calon perempuannya. Dengan memakai tudung labuh ditambahi dengan sifat pemalu mereka, hati kami merasa tenang dan bersemangat untuk meneruskan tugas. Pelajar-pelajar lelaki yang lengkap dengan songkok hitam dan berbudi bahasa juga memberi kekuatan kepada kami.

Semoga hasrat mereka untuk menjadi pendidik tidak "terencat" apabila melihat kami turun dan naik ke atas lori yang tidak berkerusi dan tidak berbumbung itu. Kerana, ini hanyalah sebahagian kecil daripada kesukaran yang perlu ditempuhi oleh seorang insan yang bergelar guru. Yang pastinya, kerja sebagai guru adalah mulia dan dituntut oleh agama Islam.

Sesuatu yang agak pelik bagi aku di sekolah ini ialah mengenai dengan tandas. Tandas yang ada tidak dilabel sebagai tandas guru lelaki atau tandas guru perempuan atau tandas pelajar lelaki atau tandas pelajar perempuan. Aku telah beberapa kali masuk ke dalam tandas pelajar lelaki yang baunya "boleh tahan" jugaklah. Pada suatu hari aku terserempak dengan seorang pekerja perempuan berhampiran sebuah tandas yang berlabel "Tandas Guru dan Kakitangan". Aku bertanya kepadanya samada tandas itu untuk lelaki atau perempuan. Jawabnya ringkas "dua-dua boleh. apabila masuk, kuncilah dari dalam". Aku berfikir sejenak "mungkin pihak pengurusan sekolah ini mahu melaksanakan budaya bertanya. Apabila pelawat hendak memasuki tandas, mereka akan bertanya samada tandas itu untuk lelaki atau perempuan."