KURSUS PSS DI MELAKA

Pada 17-20 Disember 2009, guru-guru Pusat Sumber Sekolah, daripada 10 buah SMA Terengganu telah menghadiri Bengkel Pengurusan Pusat Sumber Sekolah di Hotel Orkid, Melaka Bandaraya Bersejarah. Pagi-pagi lagi, kami berkumpul di Hadapan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, Kuala Terengganu. Lebih kurang jam 9.30 pagi, bas jabatan yang kami naiki bertolak menuju ke Melaka. Tuan Haji Sabri bin Mohamad, dari SMA Mahmudiah, Kuala Berang telah diberi amanah untuk menjadi ketua rombongan.
Bas kami berhenti di Marang, untuk membolehkan kami menikmati sarapan pagi. Di situ, aku bertemu dengan anak kepada Kak Nik Timah, Kampong Awek, Darau, Jerteh yang sedang menikmati juada pagi bersama dengan rakan-rakan sekerjanya. Ismail bin Yasin, anak sepupu kepada isteri aku, bekerja sebagai Inspektor Kesihatan di Pejabat Kesihatan Marang, Terengganu. Makan free lah aku. Inilah salah satu kebaikan, mempunyai ramai sahabat. Tak rugi untuk berbuat baik kepada sesiapa saja.

Setelah selesai menikmati sarapan pagi di tepi pantai, rombongan kami meneruskan perjalanan. Dalam perjalanan, seperti biasa, kami sentiasa berada dalam ceria. Berbagai-bagai cerita lucu kedengaran, lebih-lebih lagi cerita yang diluahkan oleh ketua rombongan kami. Kami singgah sebentar di SMA Sultan Ismail, Dungun kerana 2 orang guru sekolah ini akan menyertai rombongan kami. Selepas itu, bas rombongan kami berhenti di SMA Al-Falah, Kemaman untuk membolehkan guru sekolah ini menyertai rombongan kami. Kami berhenti untuk makan tengahari dan solat zohor di sebuah masjid di Kampong Pandan berdekatan dengan Kuantan, Pahang.