Pengawas - Satu Pengiktirafan

Pada pagi ini, satu majlis penyampaian Watikah Perlantikan Pengawas SMA Maarif, diadakan di Medan Perhimpunan sekolah. Majlis ini disempurnakan oleh Pengawai Perhubungan Sekolah, Yang Setia Chief Inspektor Mohd Rozaimi bin Abd Rahim dari Balai Polis Daerah Besut, Kampong Raja.

Majlis yang disaksikan oleh semua guru dan pelajar, dimulai dengan ucapan aluan oleh Tuan Haji Abdullah Fadhzil bin Dato' Haji Ismail, Pengetua SMA Maarif. Beliau mengucapkan tahniah kepada semua pengawas yang dilantik setelah melepasi beberapa siri saringan oleh Badan Disiplin sekolah yang diketuai oleh Ustazah Wan Dalilah bt Wan Ahmad. Beliau mengingatkan semua pengawas supaya menjalankan tugas yang diamanahkan dengan sebaik yang mungkin untuk memastikan Visi Sekolah untuk menjadi sekolah yang cemerlang menjelang tahun 2015.

Dalam ucapannya, Chief Inspektor Mohd Rozaimi menasihatkan semua pengawas agar menjalankan tugas dengan cemerlang. Beliau mengingatkan mereka supaya tidak mengambil kesempatan diatas jawatan yang disandang. Beliau juga menasihatkan mereka agar tidak melakukan perkara-perkara yang melanggar peraturan samada semasa berada di sekolah atau di luar kawasan sekolah. Mereka mesti menunjukkan teladan kepada semua pelajar lain.

Semua pengawas yang dilantik, hendaklah menyedari bahawa setiap orang daripada mereka mempunyai kelebihan dan keistemewaan yang tersendiri. Mereka perlu menyedari bahawa mereka mempunyai kebolehan untuk menjadi seorang pelajar yang cemerlang. Pihak sekolah telah memberi pengiktirafan bahawa mereka adalah seorang insan yang cemerlang. Justeru itu, mereka hendaklah terus berusaha untuk meningkatkan lagi pencapaian dari segi akademik, akhlak dan sahsiah diri. Mereka perlu berusaha untuk meningkatkan lagi personaliti diri. Mereka mesti sentiasa berpakaian kemas. Mereka mesti berkomunikasi dengan berkesan dengan semua guru dan pelajar. Mereka perlu berfikiran positif pada setiap masa. Mereka mesti membuktikan kepada semua orang bahawa mereka boleh menjadi pelajar yang cemerlang dengan mencapai keputusan yang baik dalam setiap peperiksaan yang diduduki.