PERCUTIAN DI CAMERON HIGHLANDS 2011

Pada 19 - 21 Mei 2011, aku, isteri dan empat orang anak bercuti di Cameron Highlands - Percutian Keluarga. InsyaAllah, aku akan jadikan acara tahunan dalam kalendar keluargaku. Kami menginap di Rumah Peranginan Persekutuan yang terletak di atas sebuah bukit di Tanah Rata. Lokasinya amat sesuai sebagai tempat untuk berehat setelah penat bekerja. 

Oleh kerana anakku yang keempat menduduki peperiksaan pertengahan tahun pada hari Khamis, 19 Mei, kami bertolak pada jam 3.00 petang. Memang, perancangan awal, kami akan bertolak pada jam 9.00 pagi. Kami berhenti untuk solat asar dan berehat di Hentian R&R Gua Musang pada jam 5.45 petang. Di sini, kami bertemu dengan pelajar-pelajar Sekolah Kebangsaan Seri Kota, Kota Bharu, yang juga dalam perjalanan ke destinasi yang sama. Kami sekeluarga merasa geli hati melihat telatah anak-anak yang masih kecil. Mereka juga berhenti untuk solat fardu asar. Mereka menaiki dua buah bas yang tertera "Rakyat Travel". Terkenang peristiwa pada 21 - 24 April 2010, apabila aku, isteri dan rombongan Majlis Belia Daerah Besut melancong ke Ho Chi Minh, Vietnam, yang diuruskan oleh Rakyat Travel.